Make your own free website on Tripod.com

TAJUK: KAJIAN KEPERLUAN LATIHAN GURU-GURU SAINS DAN PENTADBIR SEKOLAH RENDAH BAHAGIAN BINTULU, SARAWAK

Oleh:

MOHAMED RAHMAT b. MD.YASIN (Ketua), ABDUL GHAFFAR b. MD. NOOR, ARBAIN b. SUBKI (Jabatan Sains)

Tahun: 1995 (Projek pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)



ABSTRAK:

Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji keperluan dan jenis latihan yang diperlukan oleh Guru-guru Mengajar Sains dan Pentadbir Sekolah Rendah Bahagian Bintulu, Sarawak. Penyelidikan ini cuba mencari jawapan kepada empat persoalan utama iaitu:

(i) adakah terdapat masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah di dalam melaksanakan mata pelajaran Sains, (ii) apakah jenis kursus/latihan yang diperlukan oleh Guru-guru Mengajar Sains dan pihak Pentadbir Sekolah, (iii) kekangan sehingga menyebabkan kekurangan peserta-peserta KDP dan (iv) mencadangkan satu pendekatan pelaksanaan KDP untuk Guru-guru Sains dan Pentadbir Sekolah Rendah.

Kaedah tinjauan, temubual dan soal selidik telah digunakan untuk memperolehi data dan maklumat. Kajian ini dijalankan di 32 buah Sekolah Rendah Bahagian Bintulu. Responden terdiri daripada Guru Besar, Guru PK1 dan Guru-guru Sains dari setiap sekolah. Data dianalisa, statistik perhalan iaitu jumlah, peratusan, min, kekerapan dan nisbah digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini.

Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan; (a) Ketiadaan Bilik Sains, Guru Bukan Opsyen Sains, kekurangan kemahiran mengendalikan alat-alat sains merupakan masalah utama di dalam melaksanakan mata pelajaran ini, (b) 100 peratus Guru-guru Mengajar Sains dan Pentadbirnya memerlukan pendedahan/kursus berkaitan mata pelajaran Sains dan (c) ketiadaan maklumat/pekeliling menyebabkan kekurangan calon-calon peserta KDP.