KOLEKSI PENYELIDIKAN MPSB

1.TAJUK:

KAJIAN KEPERLUAN LATIHAN GURU-GURU SAINS DAN PENTADBIR SEKOLAH RENDAH BAHAGIAN BINTULU, SARAWAK

OLEH:

MOHAMED RAHMAT b. MD.YASIN (Ketua), ABDUL GHAFFAR b. MD. NOOR, ARBAIN b. SUBKI (Jabatan Sains)

TAHUN: 1995 (Projek pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)

ABSTRAK:

Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji keperluan dan jenis latihan yang diperlukan oleh Guru-guru Mengajar Sains dan Pentadbir Sekolah Rendah Bahagian Bintulu, Sarawak. Penyelidikan ini cuba mencari jawapan kepada empat persoalan utama iaitu:

(i) adakah terdapat masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah di dalam melaksanakan mata pelajaran Sains, (ii) apakah jenis kursus/latihan yang diperlukan oleh Guru-guru Mengajar Sains dan pihak Pentadbir Sekolah, (iii) kekangan sehingga menyebabkan kekurangan peserta-peserta KDP dan (iv) mencadangkan satu pendekatan pelaksanaan KDP untuk Guru-guru Sains dan Pentadbir Sekolah Rendah.

Kaedah tinjauan, temubual dan soal selidik telah digunakan untuk memperolehi data dan maklumat. Kajian ini dijalankan di 32 buah Sekolah Rendah Bahagian Bintulu. Responden terdiri daripada Guru Besar, Guru PK1 dan Guru-guru Sains dari setiap sekolah. Data dianalisa, statistik perhalan iaitu jumlah, peratusan, min, kekerapan dan nisbah digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini.

Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan; (a) Ketiadaan Bilik Sains, Guru Bukan Opsyen Sains, kekurangan kemahiran mengendalikan alat-alat sains merupakan masalah utama di dalam melaksanakan mata pelajaran ini, (b) 100 peratus Guru-guru Mengajar Sains dan Pentadbirnya memerlukan pendedahan/kursus berkaitan mata pelajaran Sains dan (c) ketiadaan maklumat/pekeliling menyebabkan kekurangan calon-calon peserta KDP.

2. TAJUK:

KEUPAYAAN GURU PELATIH BARU DALAM MENYELESAIKAN MASALAH BUKAN RUTIN MATEMATIK

OLEH:

LIM KEAT HENG (Ketua), FOO KIEN KHENG, NAGARAJAH LEE, MOHD. JAMIL bin M.NOOR, NOORIZA KASSIM, RAHMAH MURSHIDI, (Jabatan Matematik)

TAHUN: 1996 (Sebuah projek dibawah pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)

ABSTRAK: Kajian ini dilakukan untuk menentukan keupayaan menyelesaikan masalah bukan rutin di kalangan guru pelatih baru pengkhususan Pengajian Matematik (DPM) di Maktab Perguruan Sains Bintulu. Kajian ini meninjau sejauhmanakah tahap keupayaan guru pelatih baru dalam tiga langkah proses penyelesaian masalah mengikut Model Polya (1993). Di samping itu kajian ini juga melihat hubungan faktor sikap dengan keupayaan penyelesaian masalah. Instrumen kajian terdiri daripada 2 set soalan berbentuk masalah bukan rutin ditadbirkan ke atas 40 orang guru pelatih yang menjadi sampel kajian ini. Satu inventori sikap juga ditadbirkan. Skim pemarkahan analitik digunakan untuk mendapat skor keupayaan guru pelatih dalam menyelesaikan masalah. Berdasarkan skim pemarkahan ini didapati keupayaan guru pelatih adalah pada tahap sederhana, skor min mereka ialah 76.28 daripada 120 (skor penuh). Dari segi proses penyelesaian masalah, guru pelatih didapati lemah dalam langkah merancang strategi dan melaksanakan strategi dengan betul. Namun begitu, mereka tidak menghadapi kesulitan dalam proses memahami masalah. Kajian ini juga mendapati bahawa hubungan sikap guru pelatih terhadap proses penyelesaian masalah dengan skor keupayaan dikenal pasti satu korelasi yang positif. Ini mencadangkan bahawa sikap adalah salah satu faktor yang perlu diberi perhatian dalam peningkatan keupayan penyelesaian masalah. Berdasarkan dapatan yang diperolehi, kajian ini merumuskan bahawa program peningkatan harus dijalankan supaya guru pelatih dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam penyelesaian masalah terutama sekali masalah bukan rutin. Perhatian juga harus diberikan kepada pendedahan guru pelatih dengan pelbagai jenis masalah bukan rutin. Kajian ini juga mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil bagi meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah di kalangan guru-guru pelatih.

3. TAJUK:

PERSEPSI GURU PELATIH YANG SEDANG MENJALANI PRAKTIKUM TERHADAP KANAK-KANAK BERMASALAH DAN BERKEPERLUAN KHAS DI DALAM KELAS MEREKA. KAJIAN DI BEBERAPA BUAH SEKOLAH DAERAH BINTULU.

OLEH:

ABD. RASHID MOHD. ALI (Jabatan Sains) dan MOHD. KASSIM HJ. JAAFAR (Jabatan Ilmu Pendidikan)

TAHUN: 1996

ABSTRAK: Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui persepsi guru pelatih yang sedang menjalani praktikum terhadap kanak-kanak bermasalah dan berkeperluan khas di dalam kelas mereka. Persepsi yang dikaji terhad kepada empat sudut iaitu persepsi terhadap diri pelajar, terhadap penglibatan dalam pengurusan kelas, terhadap penyediaan ABB dan terhadap strategi pengajaran dan pembelajaran. Adalah dihipotesiskan bahawa persepsi guru pelatih MPSB terhadap kanak-kanak ini adalah pada tahap yang tidak memuaskan. Kajilan ini cuba mencari jawapan kepada beberapa persoalan utama iaitu apakah persepsi guru pelatih terhadap kanak-kanak ini, bagaimana persediaan dan penerimaan guru pelatih terhadap kanak-kanak ini, bagaimana keupayaan mereka mengaplikasikan teori pedagogi di kelas dan apakah mereka telah bersedia untuk menerima dan melaksanakan program Pendidikan Inklusif. Kaedah kajian ini ialah melalui temubual, pemerhatian dan soalselidik untuk mendapatkan data dan maklumat. Kajian ini dijalankan di 12 buah sekolah rendah dan menengah di Bahagian Bintulu. Responden terdiri daripada guru-guru pelatih semester 5, KPLD dan KPLI. Data dianalisa, statistik perihalan iaitu jumlah, kekerapan dan peratusan digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini. Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan: a) persepsi guru-guru pelatih terhadap kanak-kanak bermasalah dan berkeperluan khas ini adalah pada tahap yang memuaskan, b) guru-guru pelatih belum bersedia secukupnya untuk menghadapi kehadiran kanak-kanak ini di dalam kelas, c) guru-guru pelatih juga tidak begitu berkeupayaan merealisasikan.

4. TAJUK:

PENGAMALAN KOMUNIKASI BERKESAN DI KALANGAN GURU PELATIH SEMESTER 3 DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI BILIK DARJAH KETIKA MENJALANI PRAKTIKUM 1

OLEH:

ROSLI B. ABDUL RAHMAN (Jabatan Bahasa)

TAHUN: 1996

ABSTRAK: Kajian ini bertujuan untuk menilai sejauh manakah pengamalan komunikasi berkesan di kalangan guru pelatih semester 3 semasa pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah ketika menjalani praktikum1. Kaedah kajian yang digunakan ialah tinjauan menerusi soal selidik. Sampel kajian terdiri daripada 87 orang guru pelatih semester 3, ambilan Julai 1995, pengkhususan sains dan matematik. Aspek yang dikaji dalam komunikasi berkesan ialah tentang kandungan isi pelajaran, kejelasan isi pelajaran, konteks sosial, kepercayaan daripada murid-murid, kaedah penyampaian dalam pengajaran, kesinambungan isi pelajaran dan keupayaan murid-murid. Pada bab akhir, pengkaji menyarankan beberapa perkara yang perlu diambil berat oleh guru pelatih dalam komunikasi agar menjadi lebih berkesan.

5. TAJUK: PELAKSANAAN MATA PELAJARAN KEMAHIRAN HIDUP DI SEKOLAH RENDAH DI BINTULU, MUKAH DAN KAPIT DI SARAWAH

OLEH:

ANITA KOSNAN (Jabatan Kajian Sosial)

TAHUN: 1996

ABSTRAK: Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup di sekolah rendah di Bintulu, Mukah dan Kapit di Sarawak.

Penyelidikan ini cuba mencari jawapan kepada empat persoalan utama iaitu:-

(i) Bagaimanakah pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah pada masa kini. (ii) Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah rendah semasa melaksanakan mata pelajaran Kemahiran Hidup. (iii) Apakah keperluan dan bidang latihan bagi guru-guru Kemahiran Hidup dalam melaksanakan mata pelajaran tersebut. (iv) Apakah cadangan-cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Dapatan penting kajian menunjukkan:-

(i) Pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah tidak berjalan lancar sepertimana yang diharapkan. (ii) Masalah utama pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah ialah ketiadaan bengkel, peralatan yang tidak cukup dan sebahagian besar guru yang mengajar Kemahiran Hidup tidak mempunyai latar belakang dan latihan formal dalam bidang tersebut. (iii) Guru-guru yang mengajar Kemahiran Hidup sangat memerlukan Kursus Dalam Perkhidmatan tentang pengajaran mata pelajaran tersebut kerana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus Kemahiran Hidup.

6. TAJUK:

MASALAH KEGAGALAN PELATIH DIPLOMA PENDIDIKAN MALAYSIA OPSYEN SAINS DAN MATEMATIK

OLEH:

DR. HJ. AKBAR B. IBRAHIM (Ketua), ROSLI B. ABD RAHMAN, CHUAH KIM HWA, SUKHDAVE SINGH, TEE KIM TIAN

TAHUN: 1997

ASBTRAK: Tujuan kajian ini untuk menyingkap masalah kegagalan pelatih Diploma Pendidikan Malaysia opsyen sains dan matematik. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah temubual untuk mencari jawapan kepada masalah yang dikaji iaitu apakah sebenarnya yang menjadi masalah kepada pelatih Diploma Pendidikan Malaysia opsyen Sains dan Matematik sehingga menyebabkan ramai daripada mereka gagal dalam peperiksaan sains dan matematik semester 1. Sampel yang dipilih terdiri daripada guru pelatih semester 2 Diploma Pendidikan Malaysia opsyen sains dan matematik, Maktab Perguruan Sains Bintulu. Berdasarkan kajian, didapati masalah yang menyumbang kepada kegagalan pelatih ialah lemah dalam asas sains dan matematik. Disamping itu, faktor kekurangan masa, masalah pengajaran pensyarah, masalah kertas peperiksaan dan cara belajar pelatih. Pengkaji telah mengemukakan cadangan terhadap masalah ini iaitu keperluan bimbingan dan bantuan dalam sains dan matematik serta teknik belajar yang khas diperlukan.

7. TAJUK:

KESEDIAAN GURU-GURU PELATIH KPA AMBILAN JULAI 1995 (MAKTAB PERGURUAN SAINS BINTULU) MENGHADAPI PRAKTIKUM II

OLEH:

BASKARAN A/L SUBRAMANIAN (Jabatan Ilmu Pendidikan)

TAHUN: 1997

ABSTRAK: Program Latihan Mengajar atau Praktikum adalah satu komponen penting dalam kurikulum di maktab-maktab perguruan di Malaysia. Ianya memberi peluang kepada guru pelatih mempraktikkkan teori yang mereka pelajari dalam konteks sebenar bagi membolehkan mereka meneroka dan memahami perkaitan antara teori dan amalan. Kajian ini bertujuan meninjau kesediaan guru pelatih KPA ambilan Julai 1995 (Maktab Perguruan Sains Bintulu, Sarawak) menghadapi praktikum (peringkat II). Kesediaan mereka dilihat dari aspek mental dan fizikal, pengetahuan dan kemahiran serta sosialisasi. Kaedah kuantitatif dan kualitatif digabungkan dalam pengumpulan data bagi kajian ini. Teknik statistik deskriptif telah digunakan bagi menganalisa data yang dikumpul. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru pelatih KPA ambilan Julai 1995 (Maktab Perguruan Sains Bintulu) mempunyai kesediaan dalam menghadapi Praktikum II. Namun begitu, ada beberapa perkara yang mempengaruhi tahap kesediaan guru pelatih iaitu penempatan praktikum, maklumat tentang sekolah dan tempat praktikum (bengkel/taklimat praktikum), pengalaman praktikum (Peringkat I), pengalaman sosialisasi di maktab dan pendedahan pengajaran mikro/makro.

8. TAJUK:

PENCAPAIAN KEMAHIRAN PROSES SAINS DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH RENDAH

OLEH:

ZALIHA BT MUSA (Ketua), KAMARIAH BT HJ JINI, TEE KIM TIAN, (Jabatan Sains)

TAHUN:1997

ABSTRAK: Objektif kajian ini ialah untuk menentukan pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah rendah di dalam kemahiran proses sains dan membandingkan pencapaian di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Instrumen kajian, Ujian Kemahiran Proses Sains Asas (UKPSA) dan Ujian Kemahiran Proses Sains Bersepadu (UKPSB) yang diterjemah dan diubahsuai daripada Vantipa Roadrangka et. al. (1996) digunakan untuk mengukur pencapaian pelajar di dalam kemahiran proses sains. Sampel kajian terdiri daripada 200 pelajar tingkatan dua (min umur 14.28 tahun) daripada 3 buah sekolah di bandar Bintulu yang dipilih menggunakan persampelan rawak berlapis. Hasil kajian mendapati bahawa pelajar dikaji mempunyai min respon betul melebihi 50% untuk semua kategori kemahiran proses sains asas yang dinilai kecuali di dalam kemahiran meramal. Pencapaian pelajar di dalam kemahiran proses sains bersepadu adalah lemah di mana min respon betul untuk semua kategori kemahiran proses sains bersepadu yang dinilai adalah kurang daripada 50%. Pelajar perempuan mempunyai min skor yang lebih tinggi secara bererti (p<0.05) daripada pelajar lelaki di dalam kemahiran mengenal pasti pembolehubah.

9. TAJUK:

KEMAHIRAN MENYOAL DI KALANGAN GURU PELATIH SEMESTER LIMA DALAM PENGAJARAN MATEMATIK

OLEH:

MOHD. SHUKOR B. ABAS (Jabatan Hal Ehwal Pelajar) dan NOR ALIZAH BT ALIAS (Jabatan Sains Sosial)

TAHUN:1997

ABSTRAK: Kajian ini melihat apakah aras-aras soalan lisan yang digunakan oleh guru-guru pelatih dalam pengajaran matematik semasa praktikum. Data-data dikumpul melalui rakaman audio sesi pengajaran satu jam disamping pemerhatian. Kajian ini mendapati purata soalan lisan yang dikeluarkan adalah 36 soalan dan 80.46% daripada soalan yang dikemukakan oleh responden adalah aras tertumpu rendah dan 14.21% pada aras tertumpu tinggi. Manakala cuma 5.33% adalah soalan mencapah rendah dan tiada soalan langsung pada aras mencapah tinggi. Kesimpulannya hampir 86% soalan lisan adalah pada aras yang rendah iaitu pada aras pengetahuan, kefahaman dan aplikasi sahaja.

10. TAJUK:

KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN BIMBINGAN KEPADA GURU PELATIH MPSB SEMASA PRAKTIKUM II, MAKTAB PERGURUAN SAINS BINTULU.

OLEH:

MOHD. YUSOFF HJ. MOHD. SHARIFF (Jabatan Sains)

TAHUN: 1997

ABSTRAK: Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meninjau keberkesanan bimbingan kepada guru pelatih Maktab Perguruan Sains Bintulu semasa praktikum II. Kajian ini cuba mencari jawapan kepada dua persoalan utama iaitu adakah bimbingan yang diberikan oleh pensyarah pembimbing berkesan serta menepati objektif praktikum dan adakah bimbingan oleh guru pembimbing mampu menyediakan guru permulaan yang berketrampilan.

Kaedah tinjauan menggunakan soal selidik telah digunakan untuk memperolehi data dan maklumat. Lokasi kajian ini ialah di sekolah-sekolah di Bahagian Miri, Bintulu dan Sibu di mana pelatih MPSB menjalani praktikum II. Responden adalah terdiri daripada guru-guru pelatih KPLI dan KPLD Semester II (Sains dan Matematik) serta KPA Semester V. Data dianalisa secara statistik perihalan iaitu jumlah, peratusan, min dan kekerapan digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini. Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan bimbingan oleh guru pembimbing kurang diyakini oleh guru pelatih; terdapat percanggahan dari aspek bimbingan di antara pihak MPSB dan pihak sekolah; dan bimbingan pensyarah pembimbing telah mencapai objektif yang diharapkan.

11. TAJUK:

KESAN PENDEKATAN PENYELESAIAN MASALAH KE ATAS PENCAPAIAN MATEMATIK DAN SIKAP TERHADAP MATEMATIK.

OLEH:

NAGARAJAH LEE (Ketua) , FOO KIEN KHENG, LIM KEAT HENG, ABD. GHAFFAR MOHD. NOOR, NOORIZA KASSIM (Jabatan Matematik)

TAHUN: 1997 (projek dibawah pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)

ABSTRAK: Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan Pendekatan Penyelesaian Masalah berbanding dengan Kaedah Penyampaian Langsung (Direct Instructional Method) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran matematik. Ujian pra dan pasca serta satu set soal-selidik ditadbirkan untuk mengumpul data kajian. Data menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang signifikan terhadap pencapaian matematik guru pelatih ambilan Jun 1996 bila pendekatan penyelesaian masalah digunakan berbanding dengan Kaedah Penyampaian Langsung. Pendekatan Penyelesaian Masalah memberikan kesan positif ke atas sikap guru pelatih terhadap matematik. Adalah disyorkan agar para pendidik maktab dan sekolah menggunakan pendekatan ini disamping mencuba kaedah tradisional sebagai alternatif kepada Kaedah Penyampaian Langsung.





Make your own free website on Tripod.com